Misteri Api Terbakar Di Dasar Laut

Pada pertengahan tahun 1990-an, dua orang ahli geologi dari Rusia, Anatol Sbagovich dan Yuri Bagdanov bersama rakan saintis mereka dari Amerika Serikat, Rona Clint telah menemui satu cahaya aneh yang muncul di dasar Lautan Atlantik
Cahaya berwarna kemerah-merahan itu dilihat berada pada kedalaman 2,000 meter daripada arah laut dan ia telah menerangi suasana dasar lautan yang gelap gelita.


Fenomena luar biasa itu telah ditemui oleh pasukan penyelidik berkenaan ketika mereka sedang melakukan penelitian tentang kerak bumi disekitar laut berhampiran pantai Miami, Amerika Syarikat. Mereka menyatakan cahaya tersebut tidak statik, sebaliknya bergerak perlahan-lahan secara rawak.
Ketiga-tiga penyelidik itu kemudiannya menurunkan tahap kedalaman kapal selam mereka keparas 1750 meter bagi meninjau keadaan yang berlaku. Pada ketika itu, mereka telah dikejutkan dengan fenomena aliran air yang sangat panas mengalir dari arah rekahan batu. Aliran tersebut dikatakan seperti pancutan air geiser yang terdapat di daratan muka bumi.
Kemudian, aliran air panas berkenaan turut disertai dengan semburan lahar cair seperti api dan diikuti dengan debu gunung berapi yang kelihatan seperti asap kebakaran.
Mereka tidak dapat meneruskan pemerhatian ketika itu kerana suhu disekitar kawasan berkenaan telah menjadi terlalu tinggi sehingga mencapai skala 231 darjah selsius.


Kemudian pada tahun 2009, beberapa orang saintis telah bergabung untuk menghasilkan sebuah robot kapal selam bagi meninjau permukaan dasar lautan dalam. Berdasarkan rakaman video yang diambil robot berkenaan, saintis mendapati terdapat lingkaran cahaya aneh yang telah menerangi beberapa lokasi disekitar dasar laut itu.
Selepas kajian lanjut dilakukan, mereka mendapati cahaya itu merupakan api yang terhasil daripada aliran lahar gunung berapi dasar laut. Malah, robot berkenaan juga telah menjadi saksi kepada aktiviti letusan gunung berapi yang jaraknya 4,000 kaki dibawah permukaan Lautan Pasifik.
Sebelum ini, tiada siapa pernah melihat fenomena luar biasa seumpama itu berlaku. Kini buat pertama kalinya manusia dapat melihat lava mengalir di dasar laut menerusi penemuan sains.




Comments

Popular